PETALING JAYA: Alasan seorang lelaki kononnya anak jirannya tercekik dan menjadi lemah kerana memakan gula-gula yang diberinya gagal menutup perbuatan kejamnya yang disyaki mendera kanak-kanak berusia 18 bulan itu sehingga menemui ajal.
Lelaki berusia 33 tahun terbabit memberitahu doktor anak jirannya itu tidak sedarkan diri selepas memakan gula-gula berkenaan, menyebabkan dia segera membawa mangsa ke klinik berhampiran untuk rawatan sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Alasan itu, bagaimanapun menimbulkan keraguan apabila mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di PPUM kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin dan pemeriksaan mendapati ada kesan lebam pada seluruh tubuh dipercayai luka akibat dipukul. Doktor yang mengesyaki wujud unsur jenayah yang menyebabkan kematian kanak-kanak berkenaan, K Hareswara segera membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata laporan bedah siasat mendapati mangsa mati akibat tulang rusuknya retak manakala hatinya pecah selain banyak kesan lebam pada seluruh badan.





0 comments:
Post a Comment